sudah masanya pedofilia dibincang secara serius
Tarikh: 10 Julai 2017 hingga 01 April 2018

Dua tahun bukan satu masa yang pendek untuk menghasilkan sebuah buku. Namun, itulah jangka masa yang yang diambil oleh penulis Syikin Zauzi untuk menyempurnakan karya terbarunya, Dislokasi Jiwa.

Menerusi karya ini, Syikin mengambil langkah berani mengangkat tema penderaan seksual kanak-kanak sebagai rencah utamanya. Peluang bertemu dengannya sebelum berehat panjang selepas melahirkan anak sulung (tahniah Syikin!) memberi peluang untuk kami bertanyakan dengan lebih mendalam berkenaan Dislokasi Jiwa.

Buku Pojok (BP): Apakah inspirasi di sebalik Dislokasi Jiwa?

Syikin Zauzi (SZ): Cerita ini diinspirasikan daripada kanak-kanak. Penderaan seksual di kalangan kanak-kanak. Tapi bukan pasal mereka sahaja, tetapi turut bercerita berkenaan konflik jiwa watak utamanya, Khalid yang turut mengalami detik hitam ini suatu ketika dahulu.

BP: Penderaan seksual kanak-kanak atau pedofilia ini adalah perkara taboo dalam masyarakat di negara ini. Ia jarang dibincangkan. Apakah yang membuatkan Syikin tampil berani dengan tema sebegini.

SZ: Pada pendapat saya, kita kena berani berdepan dengan kebenaran. Jika dilihat kes pedofilia sebenarnya memang banyak berlaku di Malaysia namun tidak diberi perhatian sewajarnya. Saban tahun peratusannya juga semakin meningkat. Kebanyakan daripada kita tahu mengenai masalah ini namun kita tiada kesedaran untuk sama-sama mencegahnya. Sudah tiba masanya untuk kita buka mata dan minda bagi menangani perkara ini dengan lebih serius.

BP: Berapa lama Syikin menyiapkan naskah ini?

SZ: Kalau ikutkan memang lama. Rasanya lebih dua tahun sebab ada ketikanya saya 'blank' sebab ada kisah yang saya tulis terlalu terperinci sehingga saya sendiri tidak senang ketika membacanya. Saya lebih teliti kerana mahu menulis sesuatu yang positif dan lari dari stigma negatif pedofilia yang sering dikaitkan dengan kegitan seks bersama kanak-kanak.

Tapi jangan risau, buku ini bukan buku seks tetapi cerita tentang kebenaran mengenai jenayah seksual kanak-kanak selain turut memuatkan kisah percintaan suami isteri yang penuh konflik.

BP: Apa yang boleh diharapkan pembaca menerusi buku Dislokasi Jiwa??

SZ: Pembaca akan dapat bermain dengan watak-watak yang saya cipta. Saya yang menulis pun adakalanya turut terbawa-bawa dengan watak-watak ini. Sekali lagi saya tegaskan, ini bukan cerita seks tetapi cerita yang bakal membuatkan anda turut merasai apa yang dirasa oleh watak-watak ini.

BP: Kongsikan harapan Syikin dengan terhasilnya buku ini...

SZ: Harapan saya ada satu iaitu untuk membuka mata masyarakat berkenaan penderaan seksual kanak-kanak. Bagi saya kesannya bukan hanya dirasai oleh mangsa sahaja sebaliknya turut dirasai oleh masyarakat sekeliling. Nasihat saya, kalau nak membaca buku ini, perlulah membuka mata dan tidak menjumudkan minda dengan menganggap Dislokasi Jiwa adalah cerita seks semata-mata. Baca, hayati, hadam, fikir dan barulah menilai buku ini.