Ucapan Selamat Tinggal Boyzone


H | 25-06-2019


Minggu lalu, Buku Pojok telah berpeluang menonton persembahan kumpulan pop Boyzone di negara ini. Katanya ini adalah persembahan terakhir mereka secara berkumpulan.

Selepas 26 tahun menghiburkan peminat di seluruh dunia, kumpulan pop terkenal, Boyzone akhirnya menoktahkan perjalanan seni mereka dengan melangsungkan konsert perpisahan buat peminat di negara ini. 

Konsert yang dinamakan Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour ini telah berlangsung dengan jayanya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan disaksikan 5000 penonton yang kebanyakannya terdiri daripada generasi peminat muzik 1990-an. 

Kumpulan berasal dari Ireland yang dianggotai oleh Ronan Keating, 40; Shane Lynch, 41; Keith Duffy, 42, dan Mikey Graham, 45, berjaya menghiburkan peminat dengan deretan 22 lagu popular mereka seperti Words, Baby Can I Hold You, Everyday I Love You, Nothing At All, Love Me For A Reason, No Matter What, Rollercoaster, Picture of You dan banyak lagi.

"Malam ini kami tidak akan menyanyikan lagu baharu, jika ada pun hanya satu sahaja. Sebaliknya kami akan menyanyikan lagu lama yang meninggalkan memori suka dan duka buat anada semua."

"Mungkin ketika mendengar lagu ini anda akan teringat momen menemui cinta hati atau mungkin mengimbau saat putus cinta. Jadi, malam ini kami akan menghiburkan anda buat kali terakhir," kata Keating kepada peminat dalam konsert yang telah berlangsung pada Jumaat lalu. 

Dalam konsert berdurasi dua jam itu, Boyzone tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan sehingga ke hari ini. 

"Apabila kami bermula sebagai lima pemuda dari utara Dublin yang tidak sabar untuk menghadapi dunia, masing-masing tidak pernah terbayang akan mempunyai peminat yang sama, lebih 25 tahun kemudian. Terima kasih,” kata mereka dengan disambut sorakan gemuruh penonton. 

Konsert ini juga diserikan dengan persembahan penyanyi jemputan Brian McFadden, bekas ahli kumpulan Westlife yang tampil dengan tujuh lagu popular kumpulan itu seperti Mandy, Swear it Again, World of Our Own, My Love, Uptown Girl, Queen of My Heart dan When You're looking like That. 

Untuk rekod, Boyzone juga telah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur tahun lalu bagi meraikan ulang tahun ke-25 mereka. Mereka turut mengumumkan penghasilan album baharu yang menjadi album terakhir mereka berjudul Thank You & Goodnight.

Tribute Buat Gately

Dalam pada itu, Boyzone juga tidak melupakan bekas anggota kumpulan mereka, Stephen Gately yang telah meninggal dunia pada 2009 dengan mengadakan segmen tribute untuknya. 

Simbolik kehadiran Gately bersama mereka dalam konsert ini diwakili oleh pancaran cahaya dari lantai pentas yang menerangi segenap stadium telah berjaya menyentuh emosi penonton. 

Malah, beberapa buah lagu yang dinyanyikan dalam konsert ini juga mengandungi rakaman suara Gately sebagai kenangan termasuklah lagu Dream yang telah dipilih sebagai single promosi untuk album terbaharu mereka.

"Kehilangan Stephen memberikan kesan yang sangat mendalam kepada kami. Mendiang adalah sahabat yang sangat baik dan sentiasa menyenangkan dengan personalitinya yang ceria."

"Kami percaya Stephen sentiasa ada bersama dalam setiap persembahan dan kami mendedikasikan konsert ini untuknya. Kami akan sentiasa merindui dia," kata mereka lagi.

Konsert Boyzone - Thank You & Goodnight Farewell Tour ini dianjurkan oleh Wowstar Creative Entertainment serta J Starlux dan Aco Media bertindak sebagai penganjur bersama. 

Sumber: Sinar Harian