Pak cik masukkan anu dalam seluar dulu boleh?





Sejurus mendarat di Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru, saya telah diserbu oleh sekumpulan murid-murid rombongan dari Miri, Sarawak. Ketika berselisih dengan mereka di dalam tandas, mereka berebut-rebut mahu gambar bersama.

“Adik-adik, boleh tak bagi pak cik masukkan anu ni dalam seluar dulu? Lepas tu kat luar kita ambil gambar ya?” Saya bersuara.

“Kami takut nanti Chef Wan cabut lari pulak,” balas salah seorang darpada mereka.

“Kasi can lah kat Atuk kencing aman sikit nak hoi!” Memang kelakar. Bukan sekali dua saya berdepan situasi begini. Kerap juga berjumpa dalam tandas dan terus teruja nak bergambar. Tapi tak mengapalah, janji mereka happy jumpa saya.

Saya bersyukur kerana dikenali dan pada masa sama dihormati oleh ramai orang walaupun tahu ada juga yang melemparkan pandangan meluat dan sakit hati bila terserempak dengan saya. Haters will always be haters.

Dalam 100 orang membenci, ada 100,000 lagi yang sayang dan senang hati dengan saya. Biarlah, saya maafkan mereka kerana tidak mahu menyimpan dendam. Such a waste of time and my beautiful spirit!

Saya selalu ingatkan diri agar sentiasa melayan baik semua orang dengan memberi layanan ikhlas dan penuh kasih sayang. Sebagai balasan, saya percaya kita tidak berasa sunyi malah akan lebih dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. InshaAllah, Tuhan akan hantar manusia lain untuk menceriakan hidup kita biar di dalam tandas sekali pun.

Pergaulan dengan ramai orang menjadi proses pembelajaran untuk saya kekal grounded dan merendah diri. Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, menjadi selebriti bukanlah mudah. Jika tidak kena gayanya, kita mudah hanyut dengan perhatian yang diberikan. Ambil contoh ketika kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, bukan sahaja rakyat Kedah malah seluruh Malaysia turut merasai kehilangan Baginda. Inilah contoh jelas sifat rendah diri keluarga DiRaja yang menjadikan mereka disayangi oleh rakyat jelata.

Lain pula ceritanya dengan sesetengah daripada kita yang ada setitis darah kerabat, berpangkat, berdarjat dan popular sudah sombong dan berlagak. Perangai sudah menjadi bualan satu Malaysia tetap tak tahu malu dan masih berjalan mendongak langit.

CW: Ramai selebriti hidup dengan cara yang salah. Tapi pandai berlakon bila depan peminat.

****

Sedutan kisah dari buku yang ditulis oleh Chef Wan, Ada Aku Kesah? Banyak isu-isu yang dibangkitkan untuk memupuk kesedaran masyarakat dan iktibar. Siapa lagi yang berani nak tegur kalau bukan orang-orang berpengalaman yang sudah ‘lebih makan garam’. Tak gitu?

BUKU BERKAITAN