COVID-19 Perpustakaan Negara tawar 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma


SY | 19-03-2020


KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melancarkan kempen 'Sila Duduk Di Rumah Dan Baca Buku' ketika seluruh rakyat diarahkan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan sejak tengah malam tadi.

Menerusi akaun Instagram rasminya, PNM memaklumkan rakyat Malaysia boleh mengakses 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma di www.u-pustaka.gov.my.

Sebagai langkah keselamatan berikutan penularan wabak COVID-19, PNM memaklumkan pihaknya menghentikan semua perkhidmatan perpustakaan negara, komuniti dan desa sehingga 30 April.

Selain itu semua program dan aktiviti yang dijalankan oleh PNM pada bulan Mac turut ditangguhkan sehingga 30 April. Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula hari ini sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah itu meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta, institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, perkhidmatan penting serta pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.

 

kredit : Astro Awani